Rawatlah Hatimu

Hari ini, ramai orang mengaku hendak berjuang untuk Islam. Berjuang menegakkan keadilan di muka bumi Allah. Mereka ingin menyebarkan risalah Islam, melebarkan serta mengagungkan Islam di setiap sanubari dan nadi manusia. Namun, sedarkah kita dalam asyik untuk berdakwah, kita sering mengabaikan permasalahan disekitar hati, lalu virus-virus menyerang hati-hati petugas Islam. Hatta kadang-kadang mereka yang berada diperingkat kepimpinan pun tidak mampu untuk melawan virus yang datang menyerang. Lalu jatuh tersungkur di tengah-tengah lautan manusia.
Penyakit hati tidak mengenal siapa pun manusia itu, selagi mana mereka tidak meletakkan “taqwa” sebagai asas kepada pakaian jiwa dan nurani. Perlu diingat, orang yang hendak berjuang terlalu banyak tribulasi dan rintangan yang mesti dilalui. Seandainya kita tidak mempunyai benteng yang kuat, benteng tersebut akan hancur dan musnah. Namun, jika kita sudah bersedia dan mempunyai persediaan dari segenap sudut. Kita akan selamat. Sehebat mana pun badai tersebut, kita mampu untuk menongkah arus badai tersebut.
Sesungguhya, setiap manusia mempunyai permasalahan disekitar hati. Cumanya, samada virus yang menyerangnya itu kuat ataupun tidak. Apabila disebut ”penyakit hati”, ia mempunyai kait rapat dengan tasawuf, zikrullah dan tarbiyyah ruhiyyah. Seandainya, kita mempunyai hubungan yang erat dengan Allah, pasti kita akan selamat. Akan tetapi ingatlah, cubaan dan mehnahnya pasti banyak. Ia untuk menguji sekuat mana keyakinan kita terhadap Allah. Berhati-hatilah, apabila kita sudah mencapai tahap tersebut. Bila-bila masa sahaja virus-virus lain akan menyelinap masuk tanpa kita sedari.
Oleh itu, banyakkanlah muhasabah. Mintalah orang lain nasihatkan untuk kita. Buanglah jauh-jauh perasaan merasakan diri kita hebat dari orang lain, apalah guna kita hebat dimata manusia namun disisi Allah, kitalah yang paling hina. Keberkesanan kualiti pembinaan peribadi seseorang bergantung kepada pembinaan hati dan jiwa. Apabila hati kita ikhlas, maka nilai amalan kita adalah tinggi. Namun, jika jiwa kita mempunyai sifat hasad, ujub, riya’, takabbur, sombong, dendam kesumat dan sebagainya. Maka rendahlah nilai peribadi seseorang muslim dalam diri kita. Jika kita mempunyai hati yang kotor, maka layakkah kita digelar “Pejuang Agama Allah”. Pastinya tidak…
Rawatlah hati wahai pejuang..