Memahami Keadilan Untuk Saiful


MOHD Saiful Bukhari Azlan telah pun mengetahui keputusan aduan beliau kepada pemerintah mengenai pertuduhan jenayah yang beliau anggap telah diperlakukan terhadapnya oleh pihak tertuduh. Tertuduh telah didapati tidak bersalah daripada pertuduhan. Mahkamah telah memberi keadilan kepada beliau dan dengan itu beliau bersih.

Dalam hal Saiful, nampaknya banyak pihak termasuk Saiful walaupun reda tetapi merasa tidak memperolehi keadilan. Soalnya, benarkah perbicaraan selama tiga tahun itu bertujuan memberi keadilan kepada Saiful dan keadilan juga kepada tertuduh?

Saya berpendapat bahawa benar perbicaraan tiga tahun itu ialah untuk memberi keadilan kepada tertuduh tetapi salah jika dikatakan perbicaraan itu terus dikaitkan dengan memberi keadilan kepada Saiful.

Memberi keadilan kepada Saiful pada saya bukan di mahkamah jenayah. Dalam kes jenayah itu Saiful hanyalah seorang saksi, sama tarafnya seperti barang-barang bukti yang lain. Mahkamah hanya akan memutuskan menerima atau menolak barang bukti dan pernyataan saksi bagi memutuskan sama ada tertuduh melanggar undang-undang tertentu yang telah dibuat oleh negara.

Mahkamah jenayah ialah tempat membicarakan kes warganegara melawan negara (citizen against state) terhadap sesuatu pertuduhan yang dikenakan kepada seseorang tertuduh. Sebab itulah negara boleh menggunakan kewangan pembayar cukai untuk membiayai kos membuktikan negara lebih benar daripada yang dituduh.

Jika keputusan tidak memihak kepada terduduh dalam kes ini, mahkamah tidak akan mengatakan keputusan memihak kepada Saiful sebaliknya keputusan memihak kepada negara. Konsep inilah yang nampaknya kawan-kawan saya belum faham, dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang tidak faham.

Dalam mahkamah jenayah biasanya tidak disebut "A melawan B" atau "A (tertuduh) melawan Negara" tetapi pernah juga istilah "people" digunakan bagi mewakili negara seperti kes jenayah O.J. Simpson, bekas pemain American Footbal terkenal di Amerika Syarikat (AS) yang disebut juga sebagai "People of the State of California v. Orenthal James Simpson".

Istilah ini menarik kerana jika digunakan di Malaysia, ia akan mengubah konsep 'tertuduh melawan kerajaan' kerana yang dilawan bukan kerajaan sebaliknya melawan rakyat negara itu yang mengizinkan (melalui prosedur undang-undang) wang cukai yang mereka bayar digunakan untuk melawan seseorang yang telah melanggar kepentingan atau peraturan negara.

Hal begini perlahan-lahan dapat mengubah persepsi bahawa sesuatu kes jenayah adalah perlawanan antara kerajaan dengan sesiapa juga yang dikenakan sesuatu pertuduhan. Dalam keadaan itu kerajaan akan dilihat sebagai tidak terlibat atau 'neutral'.

Baca seterusnya: http://sanggahtokjanggut.blogspot.com/2012/01/memahami-keadilan-untuk-saiful.html