DUGAAN HIDUP

Hidup kita ni tak akan pernah serik dari diduga, dicuba dan diuji dengan pelbagai permasalahan.
Bagi orang berfikiran positif, dia akan menganggap masalah sebagai cabaran buat diri. Tetapi, bagi orang yang berfikiran negatif, masalah menambahkan lagi kesesakan pelbagai masalah yang sedia bersarang di fikirannya.

Hidup punya cara tertentu untuk membentuk kita menjadi insan cemerlang. Caranya amat misteri, namun senang dikenal pasti jika kita rajin berfikir.
Respon setiap orang ketika menghadapi masalah adalah berbeza. Perbezaan itu terjadi kerana kita dibentuk oleh suasana berbeza, citarasa berbeza, cara berfikir yang berbeza dan cara bertindak yang berbeza.

Oleh kerana itu, untuk mendapat hasil yang baik, yang cemerlang, yang OK, kita kena respon positif kepada setiap masalah. Tak kiralah sama ada masalah itu kecil atau besar, hadapi dengan hati yang lapang dan fikiran yang positif..

Saya percaya setiap masalah didatangkan oleh Yang Maha Esa untuk membentuk kita menjadi kuat menghadapi apa saja kemungkinan yang akan datang selepas itu. Kita takkan tahu apa yang ada di sebalik masalah, tapi paling pasti, mentaliti kita akan berubah setiap kali mendepani masalah.

Kita akan jadi lebih berani, lebih tekad, jadi optimis. Pemikiran berubah, percakapan berubah dan tindakan juga berubah. Syaratnya, kita perlu positifkan fikiran, percakapan dan perangai kita ketika mendepani masalah.

Kita akan tetap berada dalam masalah selagi kita masih berfikiran negatif.
Untuk cemerlang dalam hidup, pandai-pandailah kita dekatkan diri pada Yang Maha Esa, pencipta kita dan alam semesta. Dari situ akan datang ketenangan.
Bila sudah ada ketenangan, mudah untuk kita mencetuskan kecemerlangan dalam apa jua yang kita lakukan.

Sebaliknya, jika kita tak tenang (iaitu tertekan, bercelaru, bingung, keliru, marah, geram) susah untuk kita nak jadi sukses dalam apa yang kita usahakan.
Jika Anda lihat pada orang yang asyik tertekan, yang asyik menahan geram, marah dan sakit hati pada satu-satu situasi, dia tak akan cemerlang dalam apa yang dibuat olehnya. Maksud saya, apa yang dibuatnya akan kurang berhasil.
Hmm.. panjang saya berfalsafah. Itulah kesimpulan sendiri bila mana laptop saya tak dapat dihidupkan lagi walaupun saya dah bekerja keras membongkar bahagian motherboard untuk mencari di mana rosaknya. Dah banyak laptop orang lain saya tolong baiki, tapi laptop sendiri tak dapat saya nak selamatkan.

Terasa bagai diri saya macam Anakin Skywalker yang tak dapat nak menyelamatkan nyawa ibu kesayangannya ketika ibunya diculik oleh Sand People dalam filem Star Wars episod kedua. Dia berjuang sehabis daya menyelamatkan nyawa orang lain dalam beratus misi-misi penting, tapi tak dapat menyelamatkan nyawa ibu sendiri.
Dalam ayat pendek, saya kena terima hakikat yang laptop saya ditamatkan riwayatnya kerana ia ditakdirkan bukan untuk digunakan oleh saya. Mungkin ada laptop lain menanti saya diluar sana. Mungkin laptop baru tu lebih canggih, lebih elegan dan sedang menunggu untuk dimiliki oleh saya.

Mengapa saya berfikiran begitu? Sebab saya percaya dan benar-benar yakin hidup ini penuh dengan pelbagai keajaiban!
Everything happens for a reason. Mesti ada sebabnya.
Teringat saya dengan teori sains suatu ketika dahulu yang mempercayai bahawa dunia ini berbentuk hamparan yang luas. Bagaimanapun, teori itu telah disanggah dan dinyatakan bahawa dunia ini sebenarnya berbentuk bulat. Tetapi selepas itu dan pandangan sains pada ketika ini menyatakan bahawa dunia ini sebenarnya tidak berbentuk bulat tetapi bujur. Itulah dia dunia yang kita duduki.

Namun disebalik itu semua, apa yang ingin saya kongsi di sini ialah pandangan sebuah buku yang saya pernah baca yang menyatakan bahawa salah satu daripada cara untuk kita mengenali maha PENCIPTA dunia ini ialah dengan melihat ciptaan-Nya iaitu termasuklah diri dan persekitaran kita. Apabila ini berlaku, maka cahaya mata hati kita juga akan menjadi positif di dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan di dunia ini.

Disebalik itu semua, saya tetap berkeyakinan bahawa senjata yang paling ampuh di dalam kita menghadapi sebarang cabaran dan dugaan adalah dengan BERDOA kepada-Nya kerana hanya Dia yang mempunyai segala keajaiban yang terjadi di dunia ini, kerana hanya DIA yang mengetahui keajaiban daripada segala kejadian di dunia ini.
Masih ingatkah kita dengan peristiwa Isra-Mikraj Rasulllah bagaimana dalam masa hanya semalaman baginda dapat naik ke langit ketujuh? melihat kesengsaraan di neraka dan keindahan di syurga? Itulah keajaiban dari MAHA PENCIPTA.

No comments: